Translate

Thursday, July 11, 2019

Kedah optimis hambat kedudukan Tok Gajah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEDAH optimis masih mampu meraih gelaran naib juara Liga Super biarpun keciciran dua mata selepas diikat Terengganu FC I (TFC I) 2-2 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Penolong Ketua Jurulatih Kedah, A. Victor berkata, beliau percaya masih ada harapan untuk menghambat Pahang pada kedudukan kedua liga meskipun dipisahkan lima mata berbanding skuad Tok Gajah terbabit.

“Peluang untuk menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara masih ada walaupun tinggal berbaki dua perlawanan.

“Apa yang penting, kita terus fokus beraksi baik pada perlawanan demi perlawanan selepas ini termasuk final Piala FA menentang Perak pada 27 Julai nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Victor mengakui, perit untuk menelan hakikat kemenangan yang sepatutnya menjadi milik Kedah direntap skuad Penyu sewaktu wisel penamat hanya menunggu masa ditiupkan pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau masih berpuas hati anak-anak buahnya masih berjaya mengelak kekalahan meskipun agak tempang selepas bermain dengan 10 pemain berikutan Azmeer Yusof dilayangkan kad merah pada minit ke-69.

“Kita masih mampu bertahan menahan serangan bertalu-talu TFC I walaupun terpaksa beraksi dengan kurang seorang pemain dalam tempoh lebih 20 minit,” katanya.

Terdahulu, Kedah berjaya mendahului aksi sebanyak dua kali menerusi jaringan pemain pertahanan, Muhammad Shakir Hamzah dan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar masing-masing pada minit ketiga dan ke-45.

Namun, kelebihan skuad Helang Merah dinafikan TFC I menerusi jaringan dua pemain import, Sanjar Shaakhmedov dan Kipre Tchetche masing-masing pada minit ke-32 dan ke-90.

No comments:

Post a Comment