Translate

Sunday, April 21, 2019

Usaha sama Golden Pharos, Gimzan Plywood tingkat pengeluaran venir

KUALA TERENGGANU – Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd. menerusi anak syarikatnya, Permint Plywood Sdn. Bhd. (Permint Plywood) menjalin kerjasama dengan Gimzan Plywood Sdn. Bhd.  (Gimzan Plywood) dalam pengelua­ran venir.

Venir merupakan lapisan tipis kayu yang digunakan untuk melapisi papan utama bagi pembuatan pe­rabot, pintu dan lantai.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, melalui perjanjian tersebut, ia akan membolehkan Permint Plywood mengguna pakai insfrastruktur Gimzan Plywood bagi menjalankan proses pengeluaran venir.

“Permint Plywood boleh melakukan kerja-kerja pengeluaran venir seperti mengupas, mengering dan membungkus produk itu dengan menggunakan kemudahan dimiliki Gimzan Plywood sepanjang tempoh 12 bulan perjanjian bermula Januari tahun depan.

“Ia membolehkan kami meningkatkan pengeluaran venir bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian antara dua entiti tersebut di sini semalam.
Perjanjian itu turut ditandatangani Pengerusi Permint Plywood, Maliaman Kassim manakala Gimzan pula diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Sheikh Othman Sheikh Abdul Rahman dan Datuk Seri Yong Tu Sang.

Ahmad Nadzarudin menjelaskan, Permint Plywood menyasar untuk mengeluarkan kira-kira 500 meter padu venir kering yang dianggarkan bernilai RM0.75 juta sebulan sepanjang tempoh kerjasama tersebut.

Tambah beliau, hasil daripada kerjasama tersebut, kira-kira 100 peluang pekerjaan terutama di kawasan Ajil, Hulu Terengganu dijangka ditawarkan kepada masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment