Translate

Thursday, April 4, 2019

Penyu sedia telan Gergasi Merah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu FC I (TFC I) mahu mengekalkan momentum kemenangan dengan menjadikan Selangor sebagai ‘lauk’ pada aksi Liga Super apabila bertandang ke Stadium Shah Alam malam esok.

Tonggak pertahanan TFC I, Nasrullah Hanif Johan berkata, kejayaan menumbangkan Melaka United pada aksi Liga Super lebih dua minggu lalu telah mengembalikan semula keyakinan pasukan itu untuk memburu kedudukan kelompok teratas liga.

“Kami sebolehnya mahu terus mencetak kemenangan bagi kembali mengejar kelompok teratas liga yang kini dikuasai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.

“Selain bermain mengikut perancangan ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim), saya dan rakan-rakan juga perlu bermain dengan rentak sendiri tanpa perlu terikut-ikut permainan pasukan lawan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Nasrullah berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya juga perlu berwaspada dengan dua bekas pemain skuad Penyu, Mohd. Faiz Nasir dan Abdul Latiff Suhaimi yang kini beraksi dengan skuad Gergasi Merah.

Ujarnya, kedua-dua bekas rakan sepasukannya itu sudah pasti mendapat tonik tambahan apabila mereka menerima panggilan menyarung jersi kebangsaan pada saingan Piala Airmarine baru-baru ini.

“Faiz pula sudah pasti lebih bersemangat selepas meledak gol sulung pada kemunculan pertama bersama skuad Harimau Malaya.

“Begitupun saya anggap ia bukan masalah besar buat kami untuk mengikat mereka pada aksi nanti. Jika ada yang mengandaikan Mohd. Faiz dan Abdul Latif mengetahui rahsia TFC I, kami juga sebenarnya sudah masak dengan rentak permainan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment