Translate

Monday, April 15, 2019

Masa untuk TFC I lakukan kebangkitan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Terengganu FC I (TFC I) diseru untuk melakukan kebangkitan pada aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Penolong ketua jurulatih TFC I, Mohd. Nik berkata, kekalahan dua kali berturut-turut ketika menentang Selangor dan kelab Perbada­nan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) sebelum ini amat memeritkan.

“Kita tiada pilihan lain selain meraih kemenangan ke atas Kedah walaupun beraksi di gelanggang lawan.

“Saya gesa anak-anak buah saya untuk bangkit, kita tidak boleh tewas lagi buat kali ketiga berturut-turut,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. yang mengalas tugas mengemudi TFC I susulan Irfan Bakti Abu Salim menjalani kursus di Kuala Lumpur sehingga minggu depan berkata, pemain-pemainnya perlu mengelak situasi ‘lambat panas’ yang membelenggu skuadnya dalam dua aksi terakhir sebelum ini.

Ujarnya, beliau juga sentiasa berhubung dengan Irfan Bakti bagi membincangkan persiapan dari segi teknikal dan strategi bagi menjinakkan skuad Helang Merah nanti.

“Pemain tengah import, Lee Andrew Tuck yang mengalami kece­deraan sebelum ini berkemungkinan besar akan cergas dan diturunkan pada aksi Jumaat ini (malam ini).

“Saya harap kehadiran semula Tuck akan memperkuatkan se­mula barisan tengah kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment