KUALA TERENGGANU – Mayat seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Manir yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Manir sejak Sabtu lalu ditemui berhampiran Jeti Teluk Menora di sini kelmarin.
Mayat Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi (gambar kecil), 10, ditemui terapung di bawah jeti berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk kampung.
“Mayat mangsa yang hanya berseluar dalam dijumpai pada kedudukan kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan tergelincir di tebing sungai.
“Pasukan mencari dan menyelamat kemudian mengangkat mayat kanak-kanak itu ke daratan sebelum pengecaman dilakukan ahli keluarga,” katanya di sini semalam.
Mazimi berkata, mayat Ahmad Aqil Fadlullah kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.
Kosmo! semalam melaporkan, Ahmad Aqil Fadlullah dipercayai tergelincir ketika sedang bermain bersama tiga rakan sekampungnya di tebing Sungai Manir dekat sini pada pukul 4.30 petang, Sabtu lalu.
Rakan mangsa yang panik dan ketakutan terus melarikan diri ke rumah masing-masing tanpa memaklumkan insiden kejadian itu kepada sesiapa.
Mereka hanya membuka cerita selepas bapa Ahmad Aqil Fadlullah, Ahmad Ruhaimi Mohd. Rehan, 40, mencari mangsa setelah anaknya tidak pulang ke rumah di Jalan Tualang, Manir dekat sini selepas waktu maghrib.
No comments:
Post a Comment