Translate

Thursday, April 25, 2019

Lelaki diberkas pecah masuk rumah majistret

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda ditahan selepas dipercayai memecah masuk rumah seorang majistret di sini pada Ahad lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun diberkas di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol di sini pada pukul 7.45 petang kelmarin.

Menurut satu sumber, mangsa yang bertugas di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini mendapati rumahnya di Chendering telah dipecah masuk pada pukul 10.52 malam Ahad lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan beberapa barangan berharga.

“Susulan kejadian itu, polis kemudian melancarkan operasi dan memberkas seorang lelaki  di Atas Tol bagi membantu siasatan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, suspek ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek sebelum ini pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atas kesalahan jenayah sama.

No comments:

Post a Comment