MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas mudah menewaskan Ultimate FC 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Tuan rumah yang merehatkan beberapa pemain utama seperti Lee Andrew Tuck, Kipre Tchetche dan Mohd. Suffian Rahman Raman mendahului seawal minit pertama menerusi sepakan leret penyerang berpengalaman, Mohamad Ashari Samsudin.
Penjaga gol Ultimate FC, Afif Aizad Azman tewas buat kali kedua menerusi tandukan pemain pertahanan import skuad Penyu, Igor Zonjic pada minit ke-74.
Pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov melebarkan kedudukan menjadi 3-0 selepas berjaya memperdaya Afif Aizad pada empat minit kemudian.
Kapten pasukan, Nasrullah Haniff Johan pula mudah menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-86.
Ultimate FC yang beraksi di Liga M3 terus gagal menyerap asakan TFC I selepas penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli melengkapkan pesta gol tuan rumah dengan meledak jaringan kelima pada minit ke-89.
Terdahulu Shaakhmedov yang berasal dari Uzbekistan hampir meledak gol namun dua percubaannya pada minit ke-47 dan 73 namun gagal menemui sasaran.
Percubaan pemain pertahanan, Adib Aizuddin Ab. Latif juga tersasar apabila terkena palang pada minit ke-83. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment