Translate

Tuesday, April 9, 2019

SPRM mungkin panggil Abdul Hadi beri keterangan

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membantu siasatan dana RM90 juta didakwa diterima parti itu dan pembayaran cek sejumlah RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan berhubung kes itu tidak pernah ditutup sebaliknya beberapa individu lagi dijangka bakal dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

"Lebih kurang 25 saksi telah dipanggil dan kita masih menjalankan siasatan (kes) ini. Saya tidak tolak kemungkinan untuk memanggil Presiden Pas (Abdul Hadi) untuk memberi keterangan," katanya selepas melancarkan tayangan video pendek Anti Rasuah di panggung wayang, Lotus Five Star Cinema di sini semalam.

Azam bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung tempoh masa yang akan diambil SPRM  untuk memanggil Abdul Hadi.

Sebelum ini, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr. Rameli Musa telah hadir ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, beberapa pemimpin Pas termasuk  Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa serta Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Rewcastle-Brown pula pada akhir bulan lalu membuat pengakuan telah menerima pembayaran RM1.4 juta dibuat Abdul Hadi selain memuat naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia serta sekeping cek Bank Islam.

No comments:

Post a Comment