Translate

Saturday, April 6, 2019

TFC I hadapi PKNP FC tanpa Irfan Bakti

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu FC I (TFC I) bakal melayani kunjungan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini tanpa pengendali, Irfan Bakti Abu Salim.

Jurulatih berpengalaman itu akan bercuti selama 10 hari untuk menjalani kursus kejurulatihan Lesen Pro di Kuala Lumpur sehingga pertengahan bulan ini.
“Saya tetap mengendalikan persiapan pasukan bagi berdepan PKNP FC sehingga hari ini (semalam). Pesan saya kepada pemain-pemain (TFC I), aksi pada Sabtu nanti (malam ini) perlu menang.

“Kita tidak boleh bazirkan mata jika tidak mahu tertinggal jauh apatah lagi saingan merebut kedudukan teratas liga sudah semakin sengit,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, ketiadaannya bersama pasukan pada aksi tersebut bukan masalah besar kerana prestasi skuad kendaliannya akan terus dipantau barisan kejurulatihan sedia ada.

Ujarnya, keyakinan terhadap tiga pembantunya iaitu Mohamad Nik, Kamaruddin Annuar, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Yazid Mohd. Yassin untuk mengalas tanggungjawab yang ditinggalkan amat tinggi.

“Mereka yang rata-rata sudah bersama pasukan sejak saya mula mengendalikan TFC I pada tahun 2017 bukan sahaja memahami tanggungjawab masing-ma­sing malah amat serasi dengan barisan pemain.

“Apa pun, kita perlu berhati-hati dengan PKNP FC yang masih segar dengan kejayaan membelasah Kuala Lumpur pada minggu lalu dan mara ke pu­singan ketiga Piala FA,” katanya.

No comments:

Post a Comment