JARINGAN berharga pada pusingan ketiga Piala FA menentang Kelantan United pada Selasa lalu menjadi ‘tonik’ buat penyerang utama Terengganu Football Club I (TFC I), Kipre Tchetche untuk kembali menjadi penyerang prolifik untuk skuad Penyu.
Pemain kelahiran Ivory Coast berkata, motivasinya kembali meningkat berikutan jaringan itu dan berazam untuk terus meledak jaringan pada aksi dengan Felda United pada malam ini.
“Saya lega beban yang membelenggu kerana kemarau gol sejak awal musim ini kini berakhir sudah pada aksi kelmarin (Selasa).
“Kini, saya tekad untuk ‘membuka akaun’ jaringan pula bagi saingan Liga Super menerusi aksi dengan Felda United pada malam esok (ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur semalam.
Sehubungan itu, Tchetche bertekad untuk terus berusaha mempertajamkan mutu permainan agar kembali mendapat sentuhan berbisanya seperti sebelum ini.
Ujar bekas kapten TFC I, apa yang penting ialah kemarau kemenangan yang melanda skuad Penyu dalam saingan Liga Super sejak tiga aksi lalu dapat ditamatkan segera.
“Saya akui kemenangan dengan Kelantan United telah menaikkan semula moral kami sepasukan untuk kembali ke landasan sebenar.
“Begitupun, kita juga perlu berhati-hati kerana Felda United bukan lawan mudah kerana kelab itu kini dalam momentum kemenangan pada masa ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment