Translate

Tuesday, April 9, 2019

Dua wanita Indonesia diburu disyaki melarikan rantai emas

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Dua wanita asing dipercayai warga Indonesia diburu kerana disyaki melarikan seutas rantai leher bernilai RM7,350 dari sebuah kedai emas di Kuala Berang di sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.37 petang itu, kedua-dua suspek disyaki telah menyamar sebagai pelanggan sebelum salah seorang daripada mereka menyorokkan rantai emas itu dengan tangan kirinya lalu memasukkannya ke dalam beg tangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kelibat dua wanita terlibat dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an hanya dikenal pasti menerusi pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV)  semalam sebelum laporan polis dibuat selepas itu.

Beliau berkata, pada mulanya, pengusaha kedai emas terbabit hanya menyedari kehilangan rantai emas seberat 42.28 gram berkenaan sewaktu pemeriksaan stok pada pukul 3 petang, kelmarin.

"Beliau yang berusia 50 tahun kemudiannya memeriksa rakaman CCTV di premisnya pada pukul 4.30 petang semalam (kelmarin) bagi mendapatkan kepastian.


"Berdasarkan rakaman CCTV berkenaan, rantai leher emas terbabit disyaki dicuri oleh dua wanita telah mendatangi kedai emas berkenaan pada Sabtu lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment