Translate

Monday, April 8, 2019

Tiada bas Amphicoach

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bas Amphicoach sah tidak akan menjadi produk pelancongan baharu Terengganu selepas kerajaan negeri mengambil keputusan menolak produk bas dua alam berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, setelah proses penilaian dilakukan keadaan bas Amphicoach diibaratkan  ‘pesakit tenat’, kanser tahap empat dan menunggu masa untuk mati.

Menurutnya, bas dua alam buatan Malta itu telah gagal melepasi proses pengujian kenderaan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut atas faktor keselamatan.

“Antara isu yang diutarakan JPJ dan Jabatan Laut ialah Amphicoach yang berkapasiti 42 penumpang berkenaan dikhuatiri kurang selamat jika ia sengit di dalam air selain enjinnya cepat ‘panas’.

“Keputusan itu terpaksa dibuat selepas syarikat kontraktor terlibat masih gagal memenuhi spesifikasi ditetapkan walaupun lebih setahun menjalani sesi ujian,”katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu beliau menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas - Tepoh)  dan Datuk Seri Ahmad Said (BN - Kijal) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14.

Kedua wakil rakyat itu bertanya perancangan kerajaan negeri Terengganu untuk memanfaatkan bas Amphicoach terutama dalam industri pelancongan.

Ariffin berkata, pemeriksaan mendapati Amphicoach diterima kerajan negeri Terengganu pada Januari 2018 adalah daripada jenis Man Truck & Bus yang telah diubahsuai dan bukannya Iveco Bus seperti tempahan awal pada 2015.

Menurut beliau, difahamkan penukaran jenis bas berkenaan telah diluluskan kerajaan negeri terdahulu yang diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dalam mesyuarat ahli mesyuarat kerajaan negeri mingguan.

“Saya akan usulkan dalam mesyuarat Exco untuk menolak projek bas (Amphicoach) yang bernilai kira-kira RM3.08 juta tersebut pada masa terdekat.

“Sepatutnya wang pembayaran lebih RM2.75 juta yang dibayar kerajaan negeri perlu dipulangkan semula oleh syarikat pengeluar. Apa pun saya serahkan kepada Pegawai Undang-Undang negeri untuk tindakan perundangan,” katanya.

Pembelian bas Amphicoach buatan Ultimate Technology Limited untuk tarikan pelancongan dan aset misi penyelamat musim tengkujuh merupakan idea Ahmad yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu pada Mac 2014.

No comments:

Post a Comment