Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU Football Club I (TFC I) berazam untuk melakar kemenangan sulung di gelanggang sendiri pada pertemuan dengan Melaka United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, keputusan seri dalam tiga aksi Liga Super dengan PKNS FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak di laman sendiri sebelum ini bukan sesuatu yang membanggakan.
"Walaupun beraksi baik dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut, kita masih gagal mengutip tiga mata penuh walaupun berpeluang untuk menang.
"Justeru, saya seru pemain-pemain saya agar menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang sendiri ini pada aksi dengan Melaka United Sabtu ini demi penyokong yang sentiasa memenuhkan stadium sejak awal musim," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan Bakti berkata, skuad Penyu kendaliannya bakal diperkuatkan kembali dengan kehadiran penyerang, Abdul Malik Mat Ariff dan pemain tengah, Mohd Khairul Izuan bin Rosli yang tidak dapat diturunkan pada pertemuan dengan Perak pada minggu lalu.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta anak buahnya agar berwaspada dengan ancaman Melaka United yang dilihat sebagai pasukan pencabar kejuaraan liga.
"Melaka United yang dikendali ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan merupakan pasukan seimbang dalam semua posisi setelah diperkuat dengan pemain-pemain berpengalaman," katanya.
No comments:
Post a Comment