MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) kembali mendapat rentak kemenangan selepas menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Penyerang import, Tchetche Kipre muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol penting itu pada minit ke-49 dan 90.
Penyerang kelahiran Ivory Coast tersebut meledak gol pertama yang juga jaringan sulungnya dalam saingan Liga Super musim ini selepas sepakan leretnya berjaya menewaskan penjaga gol Felda United, Norazlan Razali pada minit ke-49.
Bagaikan mendapat semula sentuhan berbisanya, Kipre memanfaatkan kesilapan komunikasi antara Norazlan dan kapten pasukan, Jasazrin Jamaludin untuk membolosi kubu Felda United buat kali kedua pada minit ke-90.
Pasukan pelawat pula memperolehi gol saguhati hasil sepakan padu pemain tengah import, Kei Ikeda pada masa kecederaan.
Sebelum itu, tuan rumah hampir memecahkan kebuntuan namun rembatan padu penyerang, Abdul Malik Mat Ariff berjaya ditepis Norazlan pada minit ke-19.
Penjaga gawang Felda United itu sekali lagi cemerlang berjaya menepis keluar percubaan berbahaya kapten TFC I, Lee Andrew Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-31.
Pasukan pelawat pula hampir mencemaskan skuad Penyu namun sepakan pemain tengah, S. Chanthuru berjaya ditolak keluar penjaga gawang TFC I, Mohd. Suffian Ab. Rahman manakala percubaan susulan Ikeda pula ditahan dengan badan oleh tonggak pertahanan, Igor Zonjic pada minit ke-38.
Chanthuru yang tidak berputus asa terus mencuba namun tandukannya pada minit ke-42 juga berjaya ditepis Mohd. Suffian. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment