Translate

Tuesday, April 30, 2019

Guru kena tipu rugi RM400,000

KUALA TERENGGANU – Seorang guru wanita berusia 50 tahun berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah hampir RM400,000 lesap selepas ditipu sindiket peni­puan Macau.

Mangsa menyedari dia terjerat dengan sindiket penipuan tersebut selepas semakan ke atas akaun bank miliknya pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin mendapati bakinya hanya  RM100.

Sumber berkata, siasatan mendapati mangsa pernah dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa wanita itu pernah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM50,000 pada 18 Mac lalu.

“Suspek cuba menakutkan mang­sa dengan memberitahu dia disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebelum menyam­bungkan talian kepada individu lain yang didakwa pegawai polis.

“Mangsa yang panik mengikut arahan suspek kedua untuk memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaun bank baharu kononnya bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Sumber berkata, guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah di bandar raya ini membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kuala Terengganu kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment