Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD
DUNGUN – Seorang pemandu traktor menemui ajal selepas dihempap jentera itu dalam kejadian di Ladang Prolip, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.35 petang itu, mangsa, Rahim Rahman, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan baru selesai melakukan kerja-kerja meracun di ladang berkenaan.
“Ketika dalam perjalanan pulang, traktor membawa tong racun yang dipandu mangsa terbabas semasa menuruni bukit.
“Jentera itu kemudian terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter sebelum menghempap mangsa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Baharudin berkata, kejadian yang menimpa Rahim itu disedari oleh seorang pekerja ladang lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum ternampak mangsa di bawah traktor terbalik tersebut.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Al-Multafi Billah Shah mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan Rahim yang tersepit di bawah traktor jenis Ford tersebut.
“Jentera pengorek atau excavator digunakan untuk mengangkat traktor tersebut sebelum mangsa dapat dikeluarkan.
“Operasi tersebut tamat pada pukul 8.50 malam,” katanya.
Mayat Rahim dihantar ke Hospital Dungun dekat sini untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment