Translate

Tuesday, April 23, 2019

Suami kemaruk judi belasah isteri guna topi keledar

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana menegur suami yang kemaruk bermain judi atas talian, seorang suri rumah cedera dibelasah lelaki itu dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun terpaksa menahan kesakitan pada bahagian kepala, leher dan bibir akibat ditampar dan dicekik serta dipukul de­ngan topi keledar oleh suaminya.
Sumber memberitahu, wanita itu pada mulanya menegur suaminya berusia 22 tahun yang terlalu asyik bermain judi atas talian dengan telefon pintarnya.

“Teguran itu kemudiannya menyebabkan lelaki tersebut berang sehingga mereka bertengkar. Perbalahan mulut antara pasangan tersebut semakin panas dengan suspek mula naik angin.

“Dia bertindak ganas memukul isterinya dengan topi keledar selain mencekik leher serta menampar pipi wanita berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mangsa yang ketakutan kemudiannya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kuala Terengganu pada keesokan harinya.

Sementara itu, Ke­tua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Ko­misioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Sesyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

No comments:

Post a Comment