Translate

Sunday, April 28, 2019

Guru agama maut selepas tergelincir di air terjun Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU – Seorang guru agama yang sedang menyertai rombongan sekolah dilaporkan maut selepas kepala­nya terhantuk pada batu akibat terjatuh di tebing Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, Wan Ahmad Faiz Wan Mohamed @Adnan, 36, dari Taman Sri Aman Dalam, Pasir Puteh, Kelantan me­ninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud (gambar kecil) berkata, sewaktu kejadian, Wan Ahmad Faiz yang merupakan guru agama di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, Kelantan sedang menyertai rombongan ke Tasik Kenyir bersama 18 guru dan enam pelajar.

“Rombongan itu yang menaiki rumah bot telah berhenti untuk beriadah di kawasan Air Terjun Lasir pada pukul 10.30 pagi. Sewaktu sedang mandi bersama peserta rombongan lain, mangsa dikatakan te­lah tergelincir lalu terjatuh sebelum kepalanya terhentak pada timbunan batu.

“Mangsa kemudiannya terjatuh ke dalam dasar air terjun. Jarak dia tergelincir adalah kira-kira tiga meter,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, beberapa rakan Wan Ahmad Faiz bertindak terjun ke dalam kawasan air terjun itu untuk menyelamatkan mangsa, namun lelaki itu disahkan telah mening­gal dunia.

Ujar beliau, insiden menimpa guru agama itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis sebelum mayat mangsa berjaya dibawa keluar ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dekat sini pada pukul 4.30 petang.

“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment