KUALA TERENGGANU – Dua operator pengeluaran sebuah kilang elektronik maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Jalan Chendering-Bukit Payung berhampiran Kampung Bukit, Chendering di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Mohamad Khairul Izuan Ariff, 22, dan Mohammad Zulfahmi Faisal Mohd. Marzuki, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa yang bekerja di kilang sama di Pusat Perindustrian Chendering di sini maut akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, Mohamad Zulfahmi Faizal yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Kampung Banggol Pasir Tinggi, Marang di sini.
“Mohd. Khairul Izuan juga menunggang motosikal jenis Honda EX5 pula difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Paya Resak, Marang dari kilang sama selepas habis syif kerjanya.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Mohamad Zulfahmi dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggang Mohd. Khairul,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Suffian berkata, pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment