Translate

Saturday, April 20, 2019

Maut motosikal rempuh kerbau

KUALA TERENGGANU - Gara-gara merempuh seekor kerbau, seorang pemuda lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang sedang menunggang motosikal Yamaha 125Z maut dalam kemalangan di Kampung Surau Panjang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Muhammad Syawal Jusoh, 24, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan kerana tidak sempat mengelak seekor kerbau di tengah jalan.

Kerbau yang masih belum diketahui pemiliknya yang dirempuh Muhammad Syawal tersebut juga berada dalam keadaan tenat sebelum disembelih oleh beberapa penduduk kampung.

Ibu mangsa, Zaharah Abdullah, 60, berkata, kejadian merempuh kerbau yang mengorbankan anak kesembilan daripada 11 beradik berkenaan berlaku berhampiran Stor Penyimpanan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Surau Panjang di sini yang agak gelap.

"Keadaan jalan agak gelap. Sebelum kejadian, anak saya (Muhammad Syawal) sempat pulang sekejap ke rumah selepas bermain bola sepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kedai Buluh di sini.

"Dia kemudiannya keluar semula dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z. Tahu-tahu sahaja kami sekeluarga dimaklumkan anak saya itu terlibat dalam kemalangan merempuh kerbau tidak lama selepas itu," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Zaharah berkata, mayat Muhammad Syawal ditemui seorang pemancing yang sedang mengail ikan di sungai berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.

"Saya tidak pasti dia (Muhammad Syawal) hendak pergi ke mana. Mungkin dia mahu berjumpa dengan kawan-kawannya yang juga sedang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

No comments:

Post a Comment