Translate

Monday, April 29, 2019

Peniaga kemaruk guna gelaran Datuk

KUALA TERENGGANU - Keghairahan seorang peniaga menggunakan gelaran Datuk tanpa kebenaran mengundang padah apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mohd. Badrul Hisham Mohamed, 40, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dijalankan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Badrul Hisham didakwa menggunakan gelaran Datuk pada kad perniagaan dan kad namanya bagi tujuan perniagaan sedangkan dia belum dikurniakan gelaran atau menerima apa-apa kebenaran bertulis.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai makan di Wakaf Tengah, Kuala Nerus pada pukul 7.30 malam, 21 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan gelaran sama bagi mendaftarkan perniagaannya di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia cawangan Terengganu di sini antara pukul 8 pagi dan 3 petang, 12 Ogos 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama 1963 yang memperuntukkan hukuman hukuman denda RM1,000 jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Abdul Hayyi mengenakan hukuman maksimum bagi kedua-dua pertuduhan tersebut terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment