MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Dua pegawai bomba wanita mencipta sejarah apabila julung kali berjaya dipilih sebagai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Melisa Canda anak Jawan, 26, dan Nurfatin Nadia Jamain, 24, yang masing-masing bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur berjaya melepasi pelbagai ujian dan latihan lasak kursus khas STORM sepanjang dua minggu yang berakhir hari ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebelum ini, hanya anggota bomba lelaki berjaya menyertai STORM sejak unit elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu ditubuhkan lapan tahun lalu.
"Bukan anggota bomba wanita tidak berminat tetapi rata-ratanya mereka gagal melepasi peringkat saringan yang menguji keupayaan fizikal, kecergasan dan mental.
"Syukur akhirnya dua anggota wanita yang terbukti berkemahiran, berdisiplin dam bermotivasi tinggi berjaya diserap dalam pasukan STORM kali ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup kursus khas STORM di Akademi Bomba dan nyelamat Wakaf Tapai dekat sini hari ini.
Abdul Wahab berkata, kejayaan Melisa Canda dan Nurfatin Nadia diserap masuk sebagai anggota STORM diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan lebih ramai lagi anggota wanita ke dalam pasukan elit bomba berkenaan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment