Translate

Friday, April 19, 2019

Lelaki Singapura cedera, kereta Porsche 911 Martini jatuh gaung

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki warga Singapura yang memandu kereta mewah jenis Porsche 911 Martini nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Jalan Aring- Kenyir berhampiran Tasik Kenyir dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Ong Hong Woon, 45, mengalami retak pada tulang bahu kiri selain sebahagian giginya patah dan luka pada bahagian mulut akibat kemalangan tersebut.

Kereta Porsche 911 Martini yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta itu remuk teruk di bahagian hadapan dan belakangnya dan terpaksa diangkat dari gaung terbabit dengan menggunakan kren.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan sedang berkonvoi bersama sekumpulan pemandu kereta Porsche lain yang kebanyakannya berasal dari Singapura.

"Rombongan konvoi itu difahamkan dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dari Dungun. 

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, kemalangan itu berlaku di laluan yang berselekoh dan sewaktu kejadian, cuaca cerah.

Menurut beliau, kejadian hanya dimaklumkan kepada pihak polis oleh rakan mangsa iaitu juga seorang lelaki warga Singapura  yang turut menyertai konvoi berkenaan pada pukul 5.42 petang.

"Setakat ini, pihak polis masih belum menerima laporan berhubung kemalangan itu daripada mangsa.


"Begitu pun difahamkan mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Kuala Terengganu dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment