Translate

Tuesday, April 2, 2019

Porsche terjunam dalam gaung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Nyawa seorang lelaki warga Singapura masih panjang apabila dia terselamat selepas kenderaan Porsche 911 Martini yang dipandu terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Aring-Kenyir berhampiran Tasik Kenyir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Ong Hong Woon, 45, mengalami retak pada tulang bahu kiri dan luka pada mulut termasuk sebahagian giginya patah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, semasa kejadian, mang­sa dikatakan sedang berkonvoi bersama sekumpulan pemandu kenderaan jenis sama yang kebanyakannya berasal dari Singapura.

Difahamkan, rombongan konvoi itu dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dari Dungun dekat sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mang­sa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung berhampiran.

“Kejadian itu dimaklumkan kepada  polis oleh rakan mang­sa, seorang lelaki warga Si­ngapura yang turut serta dalam konvoi tersebut pada pukul 5.42 petang,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, kemala­ngan itu berlaku di laluan yang berselekoh.

Ekoran kejadian itu, kereta sport yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta tersebut remuk bahagian hadapan dan belakang. Kenderaan itu kemudian dikeluarkan dari gaung dengan menggunakan kren.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pakar Kuala Terengganu di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

Setakat ini, mangsa masih belum membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

No comments:

Post a Comment