SKUAD Terengganu FC I (TFC I) tidak memandang mudah cabaran Ultimate FC pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar bermain seperti biasa dan tidak memandang rendah kemampuan Ultimate biarpun pasukan itu beraksi pada Liga M3.
“Saya juga meminta pemain agar melupakan kekecewaan tewas kepada Selangor pada aksi Liga Super Jumaat lalu dan perlu memberi fokus sepenuhnya pada pertemuan menentang Ultimate malam esok (malam ini).
“Kemenangan tersebut penting bukan sahaja untuk mencapai misi melangkah ke peringkat seterusnya malah mampu menjadi penawar untuk menaikkan semula semangat pasukan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan Bakti berkata, anak-anak buahnya diminta untuk menjaringkan gol seawal mungkin pada aksi berkenaan bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan sekali gus mencatat kemenangan di depan penyokong tegar di gelanggang sendiri.
Ujarnya, TFC I mempunyai impian besar untuk menjulang Piala FA pada musim ini dan kemenangan ke atas Ultimate amat penting kerana dianggap permulaan baik bagi merealisasikan hasrat itu.
“Jangan ambil mudah perlawanan itu kerana sebarang kealpaan kecil boleh menyebabkan kita boleh berputih mata,” katanya.
No comments:
Post a Comment