Translate

Saturday, April 6, 2019

Kerabat Diraja lemas di pulau

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang kerabat Diraja Perak meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika menyertai aktiviti menyelam di Pulau Perhentian, Besut kelmarin.

Raja Halimahton Shahrin Almarhum Sultan Idris Iskandar, 62, yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian selepas didapati lemah ketika melakukan aktiviti menyelam itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang.

Allahyarham merupakan anakanda Sultan Perak ke-33, Almarhum Sultan Idris Iskandar dan kekanda kepada Permaisuri Johor,  Raja Zarith Sofiah serta adinda Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain.

Difahamkan sebelum kejadian, Raja Halimahton Shahrin menyertai aktiviti menyelam pada kedalaman kira-kira 19 meter di kawasan Teluk Dalam Pasir Hantu, Pulau Perhentian bersama kumpulan lapan penyelam lain pada pukul 4.12 petang.

Tangki udara yang dipakai Allahyarham dikatakan telah menghadapi masalah apabila mengeluarkan buih selepas kira-kira enam minit kumpulan penyelam tersebut berada di dasar laut berkenaan.

Raja Halimahton Shahrin yang kelihatan lemah kemudiannya segera  dibantu rakan penyelam lain sebelum mereka membuat keputusan naik semula ke permukaan air.

Sewaktu dalam perjalanan menyelam naik ke permukaan air, Allahyarham dikatakan masih boleh memberikan reaksi positif kepada rakan penyelam lain dengan memberi isyarat bagus pada tangannya.

Bagaimanapun, Raja Halimahton Shahrin didapati tidak sedarkan diri sebaik tiba di permukaan air sebelum dibawa menaiki sebuah bot.

Rakan penyelam telah memberi bantuan penafasan kepadanya sebelum Allahyarham disahkan meninggal dunia sewaktu pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Jenazah Raja Halimahton Shahrin yang tiba di Pulau Perhentian beberapa jam sebelum insiden berlaku telah dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rawi yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dan memberitahu kes tersebut masih dalam siasatan.

Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dimakamkan di Makan Diraja Kuala Kangsar kira-kira pukul 2.20 petang semalam.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dan disembahyangkan selepas solat Zuhur.

habis

No comments:

Post a Comment