Translate

Tuesday, April 9, 2019

Wang simpanan RM165,000 lesap

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian kira-kira RM165,000 apabila wang simpanannya di dalam sebuah akaun bank lesap selepas diperdaya sebuah sindiket penipuan baru-baru ini.

Mangsa berusia 56 tahun itu mendakwa diperdaya untuk membuat pengesahan akaun bank selepas dia ko­nonnya akan dikenakan tindakan undang-undang kerana  terlibat pelbagai aktiviti jenayah.

Kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi anggota sindiket berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi pada 25 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Du­ngun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki itu pada mulanya dihubungi individu tidak dikenali yang mengenalkan diri sebagai kakita­ngan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

“Mangsa kemudiannya didakwa masih mempunyai tunggakan cukai perniagaan berjumlah RM17,600 selepas dia diminta membuat pengesahan kad pengenalannya.

“Lelaki dipercayai anggota sindiket penipuan itu juga mendakwa nama mangsa te­lah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia Alor Setar, Kedah pada Mac 2017 selain kad pengenalannya juga kononnya telah digunakan pihak lain bagi tujuan salah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Baharudin berkata, suspek kemu­diannya menyambung panggilan mangsa kepada seorang individu yang didakwa sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Menurut beliau, mangsa terus panik apabila panggilan telefonnya disambung kepada seorang lagi individu lain yang dikatakan seorang pegawai polis berpangkat in­spektor sebelum didakwa kononnya telah bersubahat menjual kad pengenalannya pada harga RM20,000.

“Individu yang mendakwa dirinya inspektor polis itu terus mendakwa mangsa sedang disiasat kerana disyaki me­nerima komisen RM200,000 hasil daripada aktiviti pe­ngubahan wang haram.

“Mangsa semakin panik apabila dimaklumkan kononnya dia juga bakal disiasat Bank Negara selain ditahan sekiranya enggan memberi kerjasama,” katanya.

Baharudin berkata, mangsa kemudiannya akur apabila diminta membuat pengesahan akaun bank miliknya sebagai syarat melepaskan diri daripada penyiasatan.

Ujar beliau, lelaki itu hanya menyedari tertipu apabila wang simpanan berjumlah RM165,000 lesap selepas mengemas kini akaun banknya pada dua hari kemudian.

No comments:

Post a Comment