MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah berputih mata kerugian hampir RM500 selepas semua pakaian yang sedang dikeringkan di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai di sini dicuri individu tidak dikenali pada Khamis lalu.
Dalam kejadian pada 3 petang itu, antara pakaian yang dilarikan penjenayah terbabit ialah pakaian seragam Persatuan Bulan Sabit Merah dan taekwando milik anaknya.
Mangsa, Sukinah Zulkifli, 37, berkata, sewaktu kejadian, dia meninggalkan sekejap dobi layan diri terbabit selama kira-kira 30 minit untuk mengambil anaknya dari sebuah sekolah berhampiran.
"Sekembalinya ke premis dobi itu, alangkah terkejutnya saya mendapati mesin pengering yang digunakan sudah kosong tanpa pakaian.
"Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), rupa-rupanya kesemua pakaian saya itu dilarikan seorang lelaki yang bertopi dan memakai baju T berwarna biru," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sukinah berkata, CCTV premis dobi tersebut menunjukkan imej suspek yang membuka pintu mesin pengering berkenaan sewaktu ia masih beroperasi sebelum melarikan kesemua pakaian milik keluarganya.
Dia yang mahu kejadian yang menimpa dirinya menjadi pengajaran kepada pengguna dobi layan diri lain memberitahu laporan polis telah dibuat berhubung kecurian berkenaan.
"Saya tinggalkan baju di dobi layan diri tidak lama. Sebagai ibu, masa itu emas. Dalam tempoh 30 minit sebelum pakaian itu kering, saya terpaksa gunakannya untuk pelbagai urusan lain seperti mengambil anak dari sekolah," katanya. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment