Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG – Dua pegawai bomba wanita mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya dipilih sebagai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Melisa Canda anak Jawan, 26, dan Nurfatin Nadia Jamain, 24, yang masing-masing bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur serta Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur berjaya melepasi pelbagai ujian dan latihan lasak kursus khas STORM sepanjang dua minggu yang berakhir semalam.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebelum ini, hanya anggota bomba lelaki sahaja yang berjaya menyertai STORM sejak unit elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu ditubuhkan lapan tahun lalu.
“Bukan anggota bomba wanita tidak berminat tetapi rata-rata mereka gagal melepasi peringkat saringan yang menguji keupayaan fizikal, kecergasan dan mental.
“Syukur kerana akhirnya dua anggota wanita ini telah membuktikan mereka berkemahiran, berdisiplin dan bermotivasi tinggi untuk diserap dalam pasukan STORM kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup kursus khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai dekat sini semalam.
Abdul Wahab berkata, kejayaan Melisa Canda dan Nurfatin Nadia diserap masuk sebagai anggota STORM diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan lebih ramai lagi anggota wanita ke dalam pasukan elit bomba berkenaan.
Ujarnya, selain keperluan anggota wanita dalam melakukan tugasan mencabar dalam misi penyelamatan STORM, ia juga selaras dengan sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu sekurang-kurangnya 30 peratus golongan hawa dalam perkhidmatan bomba.
“Setakat ini kita ada 466 anggota STORM sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011. Kita menyasar bilangannya dapat dipertingkatkan kepada 700 orang dalam tempoh dua tahun lagi.
“STORM sememangnya bersedia untuk melakukan misi penyelamatan berisiko tinggi termasuk di peringkat antarabangsa. Terbaharu, pasukan berkenaan telah menyertai misi pembersihan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor dan operasi mencari dan menyelamat kehilangan pelari Gupeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, di Gua Tempurung, Gopeng,” katanya.
Sementara itu, Nurfatin Nadia yang berasal dari Beaufort, Sabah berkata, beliau memang mengimpikan untuk menjadi anggota STORM sejak menyertai perkhidmatan bomba pada Julai tahun lalu.
“Saya akui latihan dan ujian kursus khas STORM memang mencabar mental dan fizikal. Saya sendiri membuat persiapan lebih sebulan untuk meningkatkan tahap kecergasan diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment