Translate

Sunday, April 28, 2019

KUD Zon Timur berkampung di Kuala Nerus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Karnival Usahawan Desa (KUD) yang membawa tema #KUDSejahtera anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar kini menjelajah Zon Timur di Kompleks Sukan Gong Badak di sini selama tiga hari sehingga esok.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Usa­hawan Desa KPLB, Alfizan Omar berkata, ia merupakan siri jelajah kedua KUD pada tahun ini yang menjelajah Zon Utara di Midtown Perda, Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 29 Mac hingga 1 April lalu.

“KUD Zon Timur yang menghimpunkan 308 usahawan luar bandar Terengganu, Pahang dan Kelantan diadakan untuk membuka peluang pemasaran secara terus kepada golongan itu melalui pameran dan jualan produk.

“Edisi kali ini yang akan dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun pada pukul 10 pagi esok (hari ini) juga sempena me­raikan sambutan ulang tahun ke-46 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Kete­ngah),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Alfizan berkata, antara tarikan utama KUD Zon Timur ialah menampilkan Pasar Ternakan Hidup menerusi konsep jualan terus daripada pengusaha dan zoo mini.

Beliau berkata, antara haiwan ternakan yang dipamerkan untuk jualan dan lawatan ialah lembu sado, kambing, ayam serama, rusa, landak, kancil, burung puyuh serta unta.

“Pengunjung juga berpeluang bermesra dengan Mogwli Malaysia, Muhammad ­Syukur Khamis di laman Pasar Ternakan Hidup pada sepanjang hari esok (hari ini).

“Tambah menarik pengunjung KUD Zon Timur berpeluang memenangi pelbagai cabutan bertuah termasuk seekor lembu,”  katanya.

Alfian berkata, Ketengah turut menawarkan program menukar minyak hitam motosikal secara percuma kepada pengunjung terpilih dari pukul 8.30 hingga 11.30 pagi hari ini.

Pertandingan memancing juga diadakan hari ini di Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM55,000.

No comments:

Post a Comment