KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius dakwaan kewujudan cili tiruan diperbuat daripada plastik seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar kecil) berkata, pasukan penguat kuasa kementerian itu sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan itu.
“Kami memerlukan sedikit masa untuk menyiasat kesahihan dakwaan cili plastik terbabit memandangkan sebelum ini ia hanya tersebar menerusi media sosial.
“Apa pun, KPDNHEP juga telah mengambil tindakan proaktif dengan melakukan pemeriksaan di kedai-kedai (dan pasar raya) yang menjual cili terutama di Lembah Klang iaitu lokasi kes itu didakwa berlaku,” katanya selepas merasmikan program Bank Makanan peringkat Universiti Sultan Zainal Abidin di sini semalam.
Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang tidak bertanggungjawab berkenaan sekiranya dakwaan kewujudan cili plastik itu terbukti benar.
Tegas beliau, keselamatan pengguna yang dikhuatiri mendapat ancaman kesihatan sekiranya memakan cili plastik terbabit menjadi keutamaan pihaknya.
Sebelum ini, seorang suri rumah berusia 40-an telah memuat naik video di akaun Twitter @zt000tz mendakwa ibu saudaranya menyedari bahawa cili merah berkenaan plastik apabila dia memotong dan makan cili berkenaan.
Wanita itu mendakwa membeli cili terbabit daripada sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Klip video berdurasi 46 saat yang dimuat naik pada Jumaat lalu memaparkan seorang wanita menunjukkan demonstrasi perbezaan antara cili merah asli dan cili plastik dengan memotongnya.
“Tengok ni melentik, kalau cili betul dia tak melentik dan walaupun (hiris) nipis macam ini, ia putus. Baik-baiklah kalau beli cili jangan terkena cili plastik.
“Saya dah terkena, dah termakan dah pun, telan melekat-lekat di leher (tekak) sebab itu saya tahu cili plastik. Cili plastik itu dijual bercampur dengan cili asli dan mak cik saya sedar apabila memotong cili itu,” katanya menerusi klip video tersebut.
No comments:
Post a Comment