Translate

Sunday, April 21, 2019

Tchetche buat Irfan tersenyum

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BADI kekalahan tiga kali berturut-turut Terengganu FC  I (TFC I) dalam saingan Liga Super berakhir apabila berjaya menumpaskan Felda­ United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim mampu kembali mengukir senyuman apabila ayam tambatannya, Kipre Tchetche menemui semula sentuhan berbisa selepas meledak kedua-dua gol untuk kemenangan skuad Penyu pada aksi tersebut.

Irfan Bakti mengakui penyerang kelahiran Ivory Coast itu menemui semula ketajamannya di depan gawang sekali gus menjadi faktor kepada TFC I me­nemui semula rentak kemenangan.

“Apa yang penting malam ini (kelmarin) kita menang dan Tchetche akhir­nya menjaringkan gol (untuk saingan Liga Super).

“Dia (Tchetche) bukan sahaja meledak gol malah gaya permainannya juga sudah semakin baik. Itulah yang dia hilang dalam lapan atau sembilan aksi sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Irfan Bakti berkata, beliau mengakui kemerosotan prestasi penyerang utamanya itu sedikit sebanyak mengakibatkan moral pasukan terjejas sebelum ini.

Menurut jurulatih berpengalaman yang kembali mengemudi TFC I selepas 11 hari bercuti kerana mengikuti kursus kejurulatihan profesional itu, kegagalan penjaring kedua terbanyak tersebut memanfaatkan peluang terhidang pada aksi-aksi awal liga sebelum ini telah mengecewakan rakan-­rakan sepasukannya.

“Saya harap Tchetche terus konsisten selepas ini dan berdasarkan maklum balas barisan kejuru­latihan, dia memang ber­usaha gigih untuk kembali pada prestasi sebenar terutama sejak tiga aksi sebelum ini.

“Apa pun, ia bukan bermakna saya sudah ber­puas hati. Prestasi dia akan terus dipantau menjelang jendela perpindahan pemain yang akan dibuka semula pada bulan depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment