Translate

Sunday, April 21, 2019

UniSZA tuan rumah ASM 2018 pada 27 April ini

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi tuan rumah Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaysia (ASM) 2018 pada 27 April ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh (gambar) berkata, majlis anugerah anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) itu bakal diadakan di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis ASM 2018 berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan atlet, pegawai dan penggiat sukan yang mengharumkan nama universiti serta negara hingga ke persada antarabangsa tahun lalu.

“Berdasarkan prestasi memberangsangkan atlet dalam kalangan warga universiti awam pada tahun lalu, ASM 2018 di­jangka berlangsung dengan meriah.

“Sebagai contoh, atlet dalam kalangan universiti awam cemerlang apabila menyumbang empat pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa untuk kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mohd. Afandi berkata, tambah membanggakan, seramai 69 atlet dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi awam juga telah membarisi kontinjen Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tahun lalu.

Katanya, Masum juga telah berjaya menganjurkan Kejohanan Badminton Universiti Dunia 2018 dan kejohanan Bola Keranjang 3x3 Universiti Asia keempat.

No comments:

Post a Comment