Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU Football Club I (TFC I) tidak akan memandang mudah cabaran pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau menganggap PJ City mempunyai kekuatan tersendiri memandangkan pemain-pemain tuan rumah memiliki kelebihan fizikal berbanding anak buahnya yang bersaiz kecil molek.
“Rata-rata pemain PJ City memiliki fizikal seperti bintang kelab Eropah dan ia boleh memberi kelebihan kepada mereka terhadap penguasaan bola terutama di udara.
“Oleh itu saya telah meminta pemain-pemain saya terutama barisan pertahanan agar memberi fokus yang lebih sewaktu menghadapi situasi bola mati (sepakan sudut dan tendangan percuma)," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan Bakti berkata, skuad Penyu sudah pasti bertandang ke Petaling Jaya dengan misi mengutip tiga mata penuh, sekali gus terus menghambat posisi teratas liga.
Justeru, beliau berharap dua ayam tambatan mereka iaitu Kipre Tchetche dan Lee Andrew Tuck dapat mengekalkan prestasi cemerlang mereka seperti dipamerkan pada aksi menentang Felda United minggu lepas.
Dalam perkembangan sama, jurulatih berpengalaman itu memberitahu, skuad kendaliannya juga memberi tumpuan berlatih dalam keadaan padang basah dan lecak sebagai persediaan kemungkinan beraksi dalam hujan lebat pada pertemuan itu nanti.
“Berdasarkan ramalan cuaca, Lembah Klang termasuk Petaling Jaya sering mengalami hujan lebat terutama pada waktu petang dan malam sejak akhir-akhir ini berbanding Terengganu yang ketika ini bermusim kemarau sejak beberapa bulan lalu.
“Taktikal dan teknik permainan dalam padang basah dan lecak adalah sedikit berbeza. Oleh itu, kami telah menggandakan sedikit latihan untuk menghadapi kemungkinan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment