Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN – Gara-gara berada di bawah pengaruh dadah, seorang anak tergamak menumbuk ibu kandungnya sehingga menyebabkan wanita itu cedera dalam kejadian di Kampung Air Jernih, di sini Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa yang berusia 64 tahun itu cedera pada muka dan badan selepas ditumbuk anak lelakinya yang sedang mengamuk dipercayai akibat terputus bekalan dadah jenis pil kuda.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa yang merupakan seorang penoreh getah pada awalnya cuba menenangkan anaknya yang berusia 39 tahun itu, namun perkara sebaliknya berlaku apabila dia pula ditumbuk.
“Disebabkan risau akan keselamatan diri, wanita itu kemudiannya nekad membuat laporan di Balai Polis Chukai. Difahamkan ini bukan pertama kali suspek bertindak agresif,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas Mohd. Said lagi, berdasarkan keterangan mangsa, suspek sering mengamuk dengan memecahkan barangan di rumah terutama ketika dia berada di bawah pengaruh dadah.
Menurutnya, lelaki itu kemudian ditahan di satu lokasi tidak jauh dari rumahnya tidak lama selepas laporan polis dibuat.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Pil kuda merupakan sejenis dadah sintetik dan boleh merosakkan proses semula jadi otak sehingga mengakibatkan individu yang mengambilnya tidak dapat berfikir dengan waras selain membawa kepada halusinasi.
Golongan yang ketagihan pil kuda mampu membuat sesuatu perkara di luar jangkaan untuk mendapatkan wang membeli barangan terlarang itu.
No comments:
Post a Comment