Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Karnival Usahawan Desa (KUD) menjadi medium Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk terus membantu usahawan desa mempromosi dan meningkatkan akses pasaran produk dan perkhidmatan masing-masing.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, KUD pada tahun ini mengambil pendekatan baharu menjelajah ke seluruh negara meliputi zon utara, timur, selatan dan Malaysia Timur sebelum kemuncaknya di Putrajaya pada Oktober depan.
“Kita mahu seramai mungkin usahawan desa menyertai KUD kerana program berbentuk pameran dan ekspo ini terbukti berkesan untuk meningkatkan peluang pemasaran produk dan perkhidmatan serta melebarkan rangkaian jaringan usahawan desa terbabit.
“Kita menyasar kelima-lima siri jelajah KUD termasuk di Zon Timur selama tiga hari sehingga esok (hari ini) mampu meraih kutipan jualan sekurang-kurangnya RM50 juta dengan penyertaan 2,500 usahawan desa di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan KUD Zon Timur di Komplek Sukan Gong Badak di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.
Rina berkata, selain pembukaan gerai pameran dan jualan, usahawan desa dan penduduk setempat juga berpeluang menyertai sesi pemadanan perniagaan, sesi penerangan dengan agensi pembiayaan dan forum keusahawanan sepanjang penganjuran KUD di setiap zon terbabit.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga menyasar untuk meningkatkan penglibatan usahawan desa bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara online menerusi pelancaran program Desa Digital pada masa terdekat.
“Buat permulaan, inisiatif baru ini menyasar untuk menambah penyertaan 1,000 lagi usahawan luar bandar berniaga secara online pada tahun ini. Kita juga telah memperluaskan rakan strategik meliputi platform Lazada, Shopee, eBay dan Amazon.
“Penumpuan kepada perniagaan secara online bertujuan untuk meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan usahawan desa hingga ke peringkat antarabangsa merangkumi produk seni dan budaya seperti anyaman, tenunan, kraftangan, tembikar dan tekat,” ?katanya.
No comments:
Post a Comment