Translate

Tuesday, April 23, 2019

Pakaian dalam mesin pengering lesap dicuri

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah cemas apabila pakaian yang dikeringkan di sebuah dobi layan diri di Kuala Ibai di sini dicuri pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, antara pakaian yang dilarikan penjenayah adalah pakaian seragam Persatuan Bulan Sabit Merah dan taekwondo milik anaknya.

Mangsa, Sukinah Zulkifli, 37, berkata, semasa kejadian, dia me­ninggalkan premis itu kira-kira 30 minit untuk mengambil anaknya dari sebuah sekolah berhampiran.

“Sekembalinya ke premis dobi itu, saya terkejut apabila mendapati mesin pengering yang digunakan sudah kosong.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), pakaian saya diambil seorang lelaki yang memakai topi dan baju-T berwarna biru,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sukinah berkata, ra­kaman CCTV premis dobi itu menunjukkan suspek membuka pintu mesin pengering sewaktu ia masih beroperasi sebelum melarikan ke­semua pakaian.

Sementara itu, Ke­tua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment