Translate

Thursday, April 4, 2019

Strategi kurangkan gula tambahan

BAHAYA pengambilan gula berlebihan kepada kesihatan yang menjadi pemangkin kepada masalah obesiti, penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi telah banyak diperkatakan.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 5.6 juta penduduk negara ini yang berusia 18 tahun ke atas memiliki berat badan berlebihan manakala 3.3 juta individu lain disahkan obes. Selain itu, 2.5 juta individu dewasa di negara ini juga merupakan penghidap diabetes. Masalah obesiti dan diabetes tersebut yang merupakan antara tertinggi di rantau Asia dipercayai berpunca daripada tabiat pengambilan gula tambahan.

Sistem badan kita sebenarnya tidak memerlukan gula tambahan kerana enzim yang berfungsi sebagai karbohidrat ringkas membekalkan tenaga itu boleh didapati secara semula jadi di dalam makanan seperti nasi, mi, pasta, roti, susu dan buah.

Gula tambahan berlebihan yang tidak digunakan dan diproses berkenaan akan terus kekal dalam saluran darah dan bertukar menjadi simpanan lemak. Ia juga mampu mencetuskan rintangan terhadap insulin yang dikeluarkan sistem badan yang menjadi punca kepada diabetes.

Kajian Jabatan Nutrisi Fakulti Kesihatan Awam T.H Chan Universiti Harvard, Amerika Syarikat baru-baru ini membuktikan lagi kemudaratan gula tambahan dan pemanis tiruan.

Kajian bersama Dr. Vasanti Malik dan Prof. Walter Willett itu mendapati pengambilan sekurang-kurangnya dua gelas minuman yang ditambah gula atau pemanis tiruan setiap hari boleh meningkatkan risiko kematian awal sebanyak 31 peratus menerusi penyakit kardiovaskular sementara kanser pula bertambah terutama dalam kalangan wanita.

Minuman manis tersebut merangkumi semua jenis air mengandungi gula dan pemanis tiruan seperti minuman ringan sama ada berkarbonat mahupun tidak, air berperisa buah dan minum­an tenaga.

Vasanti dalam kajiannya mengesyorkan orang ramai hanya meminum air kosong sebagai pilihan terbaik dalam diet pemakanan mereka setiap hari.

Langkah mengurangkan pe­ngambilan gula tambahan dalam minuman dan makanan boleh dikatakan sebagai prasyarat penting untuk setiap individu yang mahu menukar kepada gaya hidup sihat dan menurunkan badan badan.

Ia terbukti berdasarkan pe­ngalaman penulis sendiri yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak lebih 22 kilogram dalam tempoh enam bulan tanpa mengambil sebarang suplemen kesihatan sebaliknya hanya melakukan senaman ringan.

Sepanjang tempoh itu, penulis hanya mengurangkan tabiat gemar meminum air dan makan manis tanpa perlu berhenti daripada makan nasi yang merupakan sajian utama orang Asia pada setiap hari.

Oleh itu, langkah kerajaan untuk memper­kenalkan duti eksais terhadap minuman sedia diminum mulai 1 Julai depan merupakan inisiatif baik bagi mendidik masyarakat supaya mengurangkan pengambilan gula tambahan. Mengikut pembentangan Belanjawan 2019, duti eksais 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman manis yang me­ngandungi 5 gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml). Bagi minuman bergula berasaskan buah-buahan dan sayuran pula, cukai tersebut akan dikenakan sekiranya kan­dungan gulanya melebihi 12 gram bagi 100ml.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengenalan duti eksais terhadap minuman manis sedia diminum itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan strategi itu dipercayai mampu menjadi langkah berkesan untuk mengurangkan pengambilan gula tambahan dan masalah obesiti dalam kalang­an masyarakat.

Sementara itu, pakar pengurusan rantaian pembekalan, Prof. Dr. Marco Tieman berkata, pengenalan duti eksais yang menjadikan produk makanan dan minuman tidak berkhasiat lebih mahal dipercayai mampu menukar pola pembeli­an pengguna di negara ini.

Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti HELP berkata, strategi itu boleh menjadi pemangkin kepada pengguna agar memilih produk makanan dan minuman yang lebih berkhasiat pada harga lebih berpatutan.

“Rakyat juga mesti digalakkan untuk bertukar kepada pilihan yang lebih baik seperti gula kepada stevia dan beras putih kepada beras perang. Sehubungan itu, kerajaan perlu mengemukakan polisi yang mampu menjadikan produk berkhasiat lebih murah di pasaran seperti menukar subsidi beras putih kepada beras perang,” katanya.

No comments:

Post a Comment