Translate

Monday, May 6, 2019

Wanita cekik, hentak ibu kandung dengan batu-bata ditangkap

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang berusia dalam  lingkungan 30-an terpaksa meringkuk sementara di dalam lokap selepas ditahan reman kerana didakwa membe­lasah ibu kandung­nya sendiri dengan batu-bata dalam kejadian di Manir dekat sini kelmarin.

Penolong Pendaftar Mah­kamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md. Saad semalam telah membenarkan polis menahan reman suspek selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut sumber, wanita terbabit didakwa secara tiba-tiba telah menyerang ibu kan­dungnya yang berusia 56 tahun tanpa diketahui motif dan punca sebenarnya.

“Dia didakwa telah menumbuk muka serta kepala ibunya selain mencekik leher wanita itu.

“Tidak cukup dengan tindakan itu, suspek juga dikatakan telah mengambil batu-bata di luar rumah sebelum menghentak kepala ibu kandungnya sehingga cedera,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, mangsa yang menanggung kesakitan pada bahagian muka, kepala dan leher telah berjaya melarikan diri dari rumah mereka sebelum membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Manir dekat sini tidak lama kemudian.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal mangsa, suspek yang juga ibu kepada dua orang anak itu memang sering bertindak ganas terhadap ibunya sebelum ini.

“Mangsa mendakwa anak­nya itu juga kerap melepaskan kemarahan terhadap dua anaknya yang masih lagi kecil,” ujarnya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan se­n­ga­ja menyebabkan cedera dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012.

No comments:

Post a Comment