Translate

Wednesday, May 22, 2019

Putus semua jari tangan kanan akibat mercun

BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera parah dengan kesemua jari tangan kanannya putus akibat bermain mercun di hadapan rumahnya di Kampung Kubang Ikan di sini kelmarin.

Mangsa, Syafiq Haikal Shaharrudin yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di daerah ini dipercayai bermain mercun bersama lima orang iaitu empat sepupu dan seorang adiknya, Shahrul, 10, pada pukul 5.30 petang.

Difahamkan, ia merupakan kes mangsa mercun pertama di Terengganu pada bulan Ramadan ini dan kedua di negara ini selepas melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang ce­dera tangan kiri akibat bermain mercun bola di Sik, Kedah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, ibu mangsa, Zainab Mohd.,40, yang sedang me­nyiapkan juadah berbuka tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.

“Letupan kuat itu kemudiannya diiringi jeritan oleh anak lelakinya. Dia yang segera keluar dari rumah dan terkejut apabila mendapat mangsa telah mengalami kecederaan parah pada tangan kanannya.
“Wanita itu menjadi panik dan membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Besut di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, Syafiq Haikal yang putus kesemua jari tangan kanannya kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu tidak lama kemudian bagi rawatan lanjut.

Menurut beliau, kejadian itu telah dimaklumkan pegawai perubatan Hospital Besut di sini pada pukul 7.41 malam dan siasatan masih dijalankan.

“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil. Kita juga difahamkan adiknya (Shahrul) turut mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badan akibat letupan mercun terbabit,” katanya.

Sementara itu, Zainab yang ditemui di HSNZ, Kuala Terengganu berkata, dia masih terkilan dan terkejut dengan insiden menimpa Syafiq Haizal kerana pernah menegur anak kedua daripada empat adik-beradik itu daripada bermain mercun sebelum ini.

“Saya tegur dan tegah anak saya itu daripada bermain mercun kelmarin (Ahad lalu) dan tidak sangka dia, adik dan sepupunya tetap melakukannya sehingga berlaku kejadian semalam (kelmarin).

“Kalau ikutkan cerita sepupunya, pada mulanya mercun yang diletakkan di telapak tangannya itu tidak meletup sebelum dia (Syafiq Haikal) menyalakannya sekali lagi,” katanya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

No comments:

Post a Comment