Translate

Tuesday, May 7, 2019

Dua lelaki baru seminggu mengedar dadah diberkas polis

KUALA TERENGGANU –  Hajat dua bersaudara termasuk seorang remaja lelaki bawah umur warga Thailand untuk mencari duit raya cara mudah de­ngan mengedar dadah tidak kesampaian apabila mereka diberkas polis di Jalan Padang Midin di sini pada Sabtu lalu.

Sewaktu ditahan pada pukul 1 pagi, penganggur warga tempatan berusia 45 tahun dan adik iparnya yang berusia 14 tahun itu dipercayai baru seminggu berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam sebuah kereta jenis Mazda sebelum ditahan pihak polis.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu berjaya menemui 17 botol plastik yang mengandungi serbuk di­syaki dadah jenis heroin.

“Susulan penangkapan tersebut, pasukan polis telah menyerbu rumah kedua-dua suspek di Kampung Balai Maras di sini dan telah menemui 13 lagi botol plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Allaudeen berkata, nilai semua rampasan dadah seberat kira-kira 189.15 gram berkenaan dianggarkan berjumlah RM12,400.

Kedua-dua suspek direman hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment