Translate

Thursday, May 16, 2019

Penganggur tikam imam baca al-Quran dipenjara 41 bulan

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Perbuatan gila seorang penganggur yang tergamak menikam seorang imam hanya kerana tidurnya diganggu bacaan al-Quran mangsa pada Ahad lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun lima bulan atau 41 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat memerintahkan demikian selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 23, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Khairil yang berasal dari Kampung Bakap Jabi, Jerteh di sini didakwa menyebabkan kecederaan Mohd. Amin Md. Nor, 38, dengan menikam mangsa dengan sebilah pisau.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di dalam Masjid Kampung Apal, Jerteh di sini pada pukul 6.30 petang, 12 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada mana-mana hukuman tersebut jika sabit kesalahan.


Kosmo! Online 12 Mei lalu melaporkan mangsa, Mohd. Amin yang merupakan imam di sebuah surau di Rantau Petronas, Kerteh, Kemaman ditikam tujuh kali di bahagian dada kiri ketika mengalunkan bacaan al-Quran sesudah solat Subuh di Masjid Kampung Apal di sini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment