Translate

Wednesday, May 8, 2019

Curi masa rebut ganjaran Ramadan

ALHAMDULILLAH hari ini masuk hari ketiga umat Islam di negara ini dan kebanyakan tempat-tempat lain di dunia menunaikan ibadah puasa Ramadan.

Syariat berpuasa pada bulan Ra­madan yang merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam telah difardukan Allah pada 3 Syaaban tahun kedua Hijrah menerusi firman-Nya dalam ayat 185, surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran di dalamnya sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan batil). Maka sesiapa yang melihat bulan Ramadan hendaklah ia berpuasa.”

Syukur kita diizinkan Allah untuk sekali lagi menjadi tetamu Allah pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan pada tahun ini. Ramadan merupakan peluang terbaik untuk kita memperbaiki diri agar lebih taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Pada bulan ini, kita akan lebih mengenal diri dengan sejujurnya sama ada maksiat dan kemungkaran dilakukan selama ini berpunca daripada hasutan syaitan yang telah dibelenggu sepanjang Ramadan atau sebenarnya disebabkan kejahilan sendiri mengawal hawa nafsu.

Dalam usaha untuk meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadan ini, eloklah kita mengambil pedoman daripada pesanan tokoh pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Seri Abu Hasan Din Al-Hafiz sewaktu menyampaikan kuliah bertajuk ‘Di Ambang Ramadan’ di Surau An-Nur Fasa 3, Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan pada 1 Mei lalu.

Kuliah terakhir sebelum meninggal dunia beberapa jam selepas itu, Allahyarham sempat berpesan agar umat Islam bersungguh-sungguh merebut ganjaran yang telah ditawarkan Allah pada bulan Ramadan ini.
“Ada dua perkara besar yang Allah tawarkan dalam bulan Ramadan iaitu peluang memperbanyak pahala dan peluang untuk menghapuskan segala dosa. Sangat rugi jika kita melalui sebulan Ramadan tetapi dosa tidak mendapat keampunan daripada Allah,” pesan beliau.

Abu Hasan yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung juga berpesan supaya umat Islam menjaga solat fardu dengan bersungguh-sungguh kerana ibadah itu ibarat membuka akaun bank sebagai prasyarat membolehkan kita mendebitkan segala pahala amal baik yang dilakukan di dunia.

Tegas Abu Hasan, tanpa mendirikan solat yang merupakan tiang agama, semua kebaikan yang dilakukan menjadi sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah.

Sehubungan itu, Ramadan um­pama ‘kem ibadah’ yang memberi ke­sempatan terbaik kepada umat Islam untuk kembali kepada cara hidup Muslim sebenar.

Menurut pendakwah bebas, Senator Asmak Husin, ibadah puasa ialah perbuatan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang membatalkannya dari terbit fajar hingga terbenam matahari bagi mengharap­kan keredaan Allah.

Beliau berkata, puasa pada bulan Ramadan merupakan proses untuk memperoleh takwa sekali gus kembali kepada gaya hidup Muslim sebenar secara sistematik.

“Kehidupan seharian sepanjang bulan Ramadan telah disusun bermula dari bangun sahur, melaksanakan solat fardu dan menjaga perilaku daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasa.

“Ia juga digalakkan memanfaatkan kerahmatan Ramadan dengan me­lakukan ibadah-ibadah sunat sehingga lewat malam seperti membaca al-Quran dan mendirikan solat-solat sunat termasuk tarawih,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, umat Islam harus mengambil keberkatan Ramadan ini untuk menyuburkan lagi amalan bersedekah dan membantu golongan kurang berkemampuan.

Titah baginda, Allah telah memberi penekanan terhadap amalan bersedekah dan menolong golongan tidak bernasib baik tersebut menerusi kefarduan membayar zakat fitrah selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Sepatutnya pada bulan (Ramadan) ini umat Islam lebih ke hadapan dalam kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan.
“Beta menyeru umat Islam bersama-sama merasai kesusahan saudara kita yang kurang bernasib baik dengan menyumbang dan berkongsi rezeki dan nikmat diberikan Allah,” titah baginda dalam perutusan sempena ketibaan Ramadan 1440H.

No comments:

Post a Comment