Translate

Friday, May 3, 2019

Peluang Tok Gajah masih ada

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh tetap berfikiran positif meskipun pasukannya tewas 1-2 kepada Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Dollah berkata, gol tunggal yang dijaringkan pe­nyerangnya, Ze Love pada minit ke-57 bakal menjadi bekalan berharga bagi aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada minggu depan.

“Saya berpuas hati dengan kebangkitan yang ditunjukkan pemain-pemain saya pada separuh masa kedua. Ini persembahan terbaik mereka sejak mengalami kemerosotan prestasi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Bezanya adalah kami masih menang walaupun bermain teruk sebelum ini, tetapi pada malam ini (kelmarin), kami tewas. Begitupun, peluang masih ada kerana kami akan bermain di laman sendiri selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Dalam pada itu, Dollah mengakui ketiadaan ayam tambatan mereka, Dickson Nwakaeme pada pertemuan dengan TFC I itu telah menjejaskan ketajaman serangan pasukan juara bertahan Piala FA tersebut.

Jelas bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu, Nwakaeme merupakan seorang penyerang yang mempunyai naluri ‘pembunuh’ untuk merobek gawang lawan dan kehilangannya masih gagal diisi oleh penyerang-pe­nyerang lain termasuk Ze Love setakat ini.

“Saya katakan kepada Ze Love, walaupun telah menjaringkan satu gol berharga malam ini (kelmarin), prestasinya masih belum mencapai apa yang diharapkan. Kami jadikan dia penyerang utama menggantikan Nwakaeme kerana reputasi tinggi dimilikinya dan dia perlu buktikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Dollah memberitahu, pertembungan suku akhir kedua Piala FA dengan TFC I di gelanggang sendiri pada 10 Mei depan juga hampir pasti tanpa khid­mat Nwakaeme yang dijangka masih bergelut dengan kecederaan pada masa itu.

No comments:

Post a Comment