Translate

Sunday, May 5, 2019

Sufian Suhaimi kongsi pengalaman cabang kerjaya

KUALA NERUS - Penyanyi, Sufian Suhaimi berkongsi pengalamannya dalam bidang keusahawanan dengan peserta program Profesional Training and Education Growing Entrepreneurs (PROTEGE) Reach-out and Awareness di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini baru-baru ini.

Bekas graduan UniSZA itu berkata, antara cabang perniagaan baharu diceburinya ialah menulis buku puisi yang dijangka bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

Suffian, 27, berkata, ramai termasuk dalam kalangan peminatnya sendiri tidak tahu perkara di belakang tabir yang  dilakukannya selain menyanyi dan melakukan persembahan pentas.

"Antaranya saya menjadi penerbit dan komposer lagu termasuk terbaharu menjalankan perniagaan menulis buku. Perkara ini saya kongsi dengan adik-adik di UniSZA agar mereka mendapat inspirasi melakukan sesuatu bagi mencipta pekerjaan berbanding menjadi pencari kerja semata-mata," katanya kepada pemberita di UniSZA di sini baru-baru ini.

Terdahulu penyanyi yang popular dengan lagu Di matamu itu menjadi tetamu jemputan pada program Hari Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan yang mendapat kerjasama PROTEGE.

Program latihan kebolehpasaran dan keusahawanan graduan berkenaan merupakan inisiatif beberapa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Mengulas lanjut penerbitan buku puisi yang bakal diberi nama Senandika itu, Suffian menjelaskan ia kini sudah siap dalam 80 peratus.

Beliau berkata, setakat ini, 70 puisi nukilannya termasuk yang dihasilkan sewaktu beliau bergelar pelajar UniSZA suatu masa dahulu telah dikumpulkan bagi draf penghasilan buku terbabit.

"Buku ini bukan pasal kisah Sufian Suhaimi pernah bercinta atau putus tunang tetapi lebih kepada perspektif dan reflek saya terhadap kehidupan. Saya rasa setiap momen besar yang berlaku kepada saya seperti gembira, sedih dan kecewa  boleh dikongsi sebagai bacaan kepada orang lain," katanya.

Suffian memberitahu, antara yang menarik kebanyakan puisi yang bakal diabadikan dalam buku tersebut menggunakan judul lagu-lagunya seperti Terakhir, Di matamu, Harus Aku dan Terasa Ada.

No comments:

Post a Comment