Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU Football Club I (TFC I) semakin yakin untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Pahang 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, walaupun bekalan yang bakal dibawa ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 10 Mei depan agak tipis, namun kejayaan mereka menjadi pasukan pertama yang meleburkan rekod tanpa kalah Pahang bagi semua kejohanan musim ini telah menyemarakkan lagi motivasi anak-anak buahnya.
“Ia mengimbau situasi semasa kami menumbangkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. Kami juga bertandang ke gelanggang lawan dengan defisit satu gol seperti ini.
“Apa pun kami akan bermain habis-habisan untuk baki 90 minit aksi suku akhir kedua di Kuantan minggu depan. Masa masih panjang dan apa sahaja boleh berlaku,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Irfan Bakti turut percaya Pahang bukanlah terlalu kebal di laman sendiri kerana pemainnya pernah membuktikan mereka mampu menundukkan skuad Tok Gajah itu di Stadium Darul Makmur pada musim lalu.
Dalam perkembangan sama, jurulatih berpengalaman itu berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang lebih mendominasi perlawanan terutama pada separuh masa pertama.
“Barisan pertahanan TFC 1 terutama Adib Aizuddin Ab. Latif harus diberi pujian kerana berjaya menyerap tekanan serangan lawan termasuk mengekang pergerakan perancang Pahang, Mohamadou Sumareh.
“Kesilapan kecil seperti lambat mengawal seorang lagi pemain tengah Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih membolehkan dia membuat hantaran yang disempurnakan Ze Love pada minit ke-57,” katanya lagi.
Sebelum itu TFC I selesa mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi penyerang duo, Abdul Malik Mat Ariff dan Kipre Tchetche masing-masing pada minit ke-6 dan 27.
No comments:
Post a Comment