KUALA TERENGGANU – Empat jemaah Masjid Haji Muhammad, Kampung Mengabang Tengah di sini nyaris maut selepas struktur menara kubah masjid tersebut yang sedang dinaik taraf tiba-tiba runtuh kelmarin.
Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam, ketika kebanyakan jemaah terbabit sedang bertadarus al-Quran sesudah selesai menunaikan solat sunat Tarawih.
Salah seorang saksi kejadian, Aziz Salleh, 60, berkata, sewaktu insiden itu berlaku, dia dan dua jamaah lain sedang bertadarus al-Quran, manakala seorang lagi jemaah mengemas sejadah kira-kira tiga meter dari lokasi runtuhan.
“Masa itu hujan agak lebat, tiba-tiba kami terdengar bunyi yang agak kuat seperti guruh sebelum sebahagian struktur kubah yang terletak di tengah-tengah bumbung masjid runtuh.
“Mujur kami sempat melarikan diri dan berlindung di bahagian masjid yang tidak terjejas dengan runtuhan terbabit. Alhamdulillah kami semua selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi saksi, Abu Bakar @ Alias Jusoh, 65, yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Haji Muhammad pula memberitahu, masjid yang berusia lebih 100 tahun itu sememangnya dalam proses dinaik taraf sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, Abu Bakar menjelaskan, operasi masjid yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa untuk solat fardu dan solat sunat Tarawih itu masih berjalan seperti biasa.
“Saya bersyukur kejadian ini tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan ia juga tidak berlaku sewaktu solat Tarawih berjemaah sedang berlangsung.
“Pada malam tadi (kelmarin), hampir 200 jemaah telah menunaikan solat Tarawih yang selesai tidak lama sebelum insiden runtuhan ini berlaku,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Pusat Gerakan Operasi Kuala Terengganu, Mohd. Roslan Zakaria berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10.37 malam.
No comments:
Post a Comment