Translate

Wednesday, May 22, 2019

Beruang berkeliaran di Jambu Bongkok ditangkap

KUALA TERENGGANU – Kebimbangan penduduk Kampung Jambu Bongkok, Marang tentang kehadiran seekor beruang matahari yang berkeliaran sejak bulan lalu berakhir apabila haiwan liar terbabit berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada Sabtu lalu.

Pengarah Perhilitan Terengganu,  Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, perangkap yang disedia­kan pihaknya di kawasan pinggir hutan berhampiran kampung tersebut mengena selepas lebih seminggu ia dipasang.

“Sebelum itu, kami mendapat maklumat beruang matahari seberat kira-kira 100 kilogram itu mema­suki perangkap pertama pada 2 Mei lalu.
“Bagaimanapun haiwan liar itu berjaya melepaskan diri selepas bertindak agresif mengigit besi perangkap itu hingga tercabut,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Abdul Malek berkata, sebaik menerima maklumat itu, Perhilitan Terengganu telah memasang semula satu perangkap lain tidak jauh dari lokasi pertama.

Menurutnya, beruang tersebut yang mengalami kecederaan ringan di bahagian badannya memasu­ki perangkap terbabit semula pada Sabtu lalu.

“Luka-luka pada badan beruang tersebut telah dirawat sebelum dilepas semula di Taman Negara Terengganu di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam (kelmarin) setelah disahkan sihat.

“Saya harap dengan penangkapan beruang berkenaan, ia dapat meredakan kebimba­ngan penduduk Kampung Jambu Bongkok dan sekitar tentang keselamatan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment