Translate

Thursday, May 2, 2019

Graduan Pantai Timur model keusahawanan belia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Latar belakang keluarga yang kebanyakan merupakan golongan peniaga menjadi kelebihan kepada graduan berasal dari Pantai Timur untuk menceburi bidang keusahawanan selepas menamatkan pengajian masing-masing di institusi pengajian tinggi.

Ketua Sekretariat Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE), Norashikin Ismail berkata, kebanyakan belia dari negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang telah terdedah dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi memandangkan ia merupakan mata pencarian keluarga masing-masing.

"Sehubungan itu, saya seru lebih ramai graduan dari Pantai Timur ini menyahut cabaran mengikut jejak langkah keluarga mereka untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Mereka perlu menjadi contoh dan perangsang kepada belia lain di negara ini bahawa peniagaan boleh dijadikan mata pencarian yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada kita," katanya selepas menghadiri program Festival Kerjaya, Keusahawanan dan Skil di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali dan tetamu jemputan, Faizal Tahir yang juga penyanyi terkenal.
Norashikin berkata, selaku pengendali program latihan keusahawanan dan kebolehpasaran graduan, PROTEGE bersama beberapa agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) giat menjelajah universiti awam di seluruh negara untuk membimbing bakal graduan terbabit untuk menjadi usahawan berjaya.

Ujar beliau, pelajar institusi pengajian tinggi awam terbabit sepatutnya mengambil peluang keemasan tersebut untuk menyiapkan diri dengan kehendak dan keperluan industri seawal mereka berada di tahun pertama pengajian lagi.

"Mereka juga telah didedahkan bahawa masalah modal bukan halangan besar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan kerana kita mempunyai pelbagai agensi pembiayaan untuk membantu mereka.

"Sepanjang siri jelajah ini juga PROTEGE telah membawa wakil agensi terbabit seperti Tabung Ekonomi Usaha Niaga, Yayasan Bank Rakyat, SME Corporation Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia yang boleh menawarkan pinjaman siswa atau pinjaman boleh ubah sehingga RM100,000," katanya.
Sementara itu, Che Mohd. Ruzaidi berkata, UMT sememangnya komited mendedahkan pelajar-pelajarnya dengan pelbagai program keusahawanan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka setelah bergelar graduan kelak.

"Selain menggalakkan mereka berniaga secara kecil-kecilan dengan memberi pelbagai bantuan kewangan dan fasiliti, kita juga menjalin kerjasama erat dengan pihak industri  terutama dalam bidang perakaunan dan sains maritim agar pelajar UMT berkenaan benar-benar menetapi kehendak pasaran.

"Hasilnya, kebolehpasaran graduan UMT kian meningkat setiap tahun dengan kira-kira 80 peratus daripadanya telah memasuki pasaran kerja dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi," katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta program, Nor Fatin Hidayah Elias, 23, berkata, dia semakin bersemangat untuk memberanikan diri menceburi bidang keusahawanan selepas mendapat penerangan daripada PROTEGE.

"Saya bercadang untuk memulakan perniagaan sambilan di dalam kampus pada masa terdekat. Ini usaha saya untuk mengukuhkan kewangan sekali gus mengumpul modal perniagaan sebelum menamatkan pengajian kelak," katanya.

Muhammad Fitri Abdul Rahim, 20, pula berkata, program PROTEGE menyedarkannya untuk membuang stigma untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan modal yang besar.

"Saya didedahkan soal kewangan bukanlah halangan terbesar untuk menjadi usahawan lagi pun banyak bentuk bantuan yang boleh dipohon untuk kita sebagai pelajar untuk memulakan perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment