Translate

Monday, May 6, 2019

Nelayan lemas gara-gara jatuh bot

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Kegembiraan sekumpulan nelayan untuk pulang ke rumah dengan membawa hasil laut bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas terjatuh dari bot tunda yang dinaiki di perairan Kuala Paka dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mang­sa Mohd. Firdaus Dollah, 21, dikatakan terjatuh dari bot dinaiki bersama tiga rakannya pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Kuala Paka.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Sufian Muhamad berkata, mayat Mohd. Firdaus ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas kira-kira 14 jam dia dilaporkan hilang.

“Sewaktu kejadian, mang­sa dikatakan telah terjatuh dari bot nelayannya sewaktu dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Du­ngun di sini.

“Insiden itu kemudiannya telah dimaklumkan ke­pada salah seorang ahli keluar­ga lelaki berkenaan setelah usaha tiga lagi rakan nelayan untuk mencarinya gagal,” katanya kepada Kosmo! Ahad  di sini semalam.
Sufian berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka kemudian bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10.24 malam.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa disambung semula pada pukul 7 pagi semalam.

“Mayat mangsa ditemui terapung berhampiran kawasan Pelabuhan Kerteh, Kemaman pada pukul 11.40 pagi sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Du­ngun di sini setelah pengecaman dilakukan ahli keluar­ga,” katanya.

2 comments:

  1. Inalillahiwainaillahirajiun.. Smoga arwah Kwan rakan tempat belajar saya ditempatkan dikalangan orang yang beriman... AL-FATIHAH

    ReplyDelete